Tips Hubungan Kekal Lama :Kesalahan Cara fikir Wanita Selain suami, si isteri juga tidak lari daripada mempunyai tanggapan atau persepsi yang salah terhadap lelaki iaitu suaminya. Sebab itulah tiada siapa pun di dunia ini yang sempurna tanpa melakukan apa-apa kesalahan. Persepsi-persepsi sebegini jika tidak dikawal dan diubah mungkin akan menyebabkan perkahwinan semakin renggang dan seterusnya akan membawa kesan yang lebih parah seperti berlakunya perceraian.
Persepsi salah yang pertama ialah si isteri terlalu mengharap agar suaminya menuruti dan mengikut kehendak serta keperluan dirinya. Tidak salah untuk meminta sesuatu daripada suami, tetapi janganlah terlalu mengharap atau menginginkannya dalam masa yang singkat. Sudah menjadi fitrah seorang lelaki, mereka akan lebih cenderung untuk memikirkan masalah-masalah lain yang perlu diselesaikan berbanding dengan permintaan yang kerap kali dibuat oelh si isteri. Disebabkan persepsi yang salah ini, isteri akan merasakan suaminya sudah tidak lagi memberikan perhatian, bersifat pasif dan sebagainya. Sedarlah bahawa tabiat lelaki dan wanita sangat berbeza.
Selain itu, persepsi salah yang kedua ialah isteri sering membanding-bandingkan tingkah laku suami. Perkara ini juga termasuk dalam hal-hal yang agak mustahil dan agak menyukarkan untuk mewujudkan perkahwinan yang harmoni dan bahagia antara suami isteri. Hal ini kerana, ketika seorang isteri membandingkan tingkah lakunya dengan tingkah laku suaminya, dan kemudiannya mereka ingin suami mereka menjadi seperti mereka, berkemungkinan besar suami mereka tidak akan dapat melakukannya. Tambahan pula, si isteri tetap berdegil dan berkeras hati agar suaminya tetap menurut tingkah lakunya. Masalah akan lebih menjadi teruk sekiranya isteri cuba membanding-bandingkan suaminya dengan lelaki lain walaupun hanya membanding-bandingkan mereka dengan saudara terdekat seperti adik beradik lelaki atau sebagainya. Ingatlah bahawa lelaki mempunyai ego yang tinggi dan sangat pantang apabila diri mereka direndah-rendahkan.
Persepsi salah yang ketiga ialah isteri mengharapkan suami meluahkan perasaan. Wanita dan lelaki dilahirkan berbeza dari segi sosial, emosi dan perasaan. Ternyata aspek-aspek itu lebih dikuasai oleh wanita. Sebagaimana yang kita ketahui, wanita berperanan juga sebagai seorang ibu yang perlu mempunyai sikap lemah lembut, sopan santun dan penuh kasih sayang. Walau bagaimanapun, sikap sebegini hanya segelintir sahaja yang dilihat pada seorang lelaki. Lelaki akan lebih cenderung untuk mencapai impiannya dalam pekerjaan. Sebab itulah isteri tidak boleh terlalu mengharapkan suaminya meluahkan perasaan tentang apa-apa yang tidak berkaitan dengan perkara tersebut. Isteri perlu pandai menyelami perasaan suami dan seterusnya perlahan-lahan untuk menanyakan apa yang dinginkan oleh si isteri.
Secara keseluruhannya, suami dan isteri perlu sedar akan persepsi salah yang selama ini masih mereka pegang dan percaya. Persepsi sebegini sepatutnya langsung tidak perlu bermain di fikiran seorang isteri atau suami. Penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah-masalah sebegini adalah dengan melakukan komunikasi yang berkesan. Selalulah untuk bercakap dan meyelami perasaan dan jiwa suami. Luahkan apa sahaja yang terbuku di hati dan tanyakan pendapatnya agar si suami berasa diri mereka lebih dihargai.











